Jumaat, 5 Disember 2014

Kenapa Doa Tidak Dikabulkan?

Ada beberapa perkara yang menyebabkan doa kita tidak dikabulkan Tuhan dan kita perlu fahamkannya. Di antaranya adalah:


1.    Doa di mulut tidak sama di hati

Ini sering berlaku dan selalu kita lupakan. Kadang-kadang kita telah melakukan perintah Tuhan, tetapi kita tidak ikhlas. Oleh itu, ia menyebabkan isi hati atau fokus fikiran kita bertentangan dengan apa yang kita ucapkan. Contohnya, kita berdoa memohon kerjaya A, tetapi kita dapat kerjaya B.
Mungkin hati kita terlalu fokus kepada kerjaya B. Walaupun kita sering berdoa secara lisan untuk mendapat kerjaya A, kita masih juga tidak mendapatnya kerana hati kita lebih cenderung kepada kerjaya B.
Jika dikaitkan dengan Hukum Tarikan, apabila perasaan dan hati kita tertumpu pada suatu perkara, maka ia akan terjadi. Tidak kira ia perkara baik ataupun buruk. Ramai di antara kita yang ingin menjadi kaya dan sering berdoa memohon kekayaan, namun hati dan fikiran kita selalu membisikkan yang kita tidak mungkin boleh menjadi kaya. Tuhan Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Dia mendengar apa yang ada dalam hati hamba Nya. Oleh yang demikian, kita perlu pantau fikiran dan perasaan kita.
Jadi, sebelum berdoa periksa dulu apa yang ada dalam hati kita. Tanya sama hati apa sebenarnya yang kita inginkan.


2.   Tuhan Lebih Mengetahui Apa yang Terbaik untuk Kita

Apabila doa kita belum dikabulkan, ia bukanlah bermakna kegagalan. Doa-doa kita memiliki banyak kebaikan. Contohnya, kita memohon dimurahkan rezeki supaya kita dapat mengagihkan rezeki itu kepada orang lain dengan cara berzakat atau bersedekah. Semua doa yang kita pohon mesti baik-baik belaka.
Kita hanya beranggapan sendiri sahaja. Pada hal pengetahuan kita terbatas. Kita tidak tau apa akan berlaku pada masa datang. Juga kita tidak mengetahui adakah doa kita itu akan memberi kebaikan atau sebaliknya. Adakah kita bahagia jika doa itu dimakbulkan?
Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Dia mengetahui segala-galanya tentang hambaNya. Mungkin Dia menyayangi kita kerana tidak memakbulkan doa kita. Dia tidak mahu kita menderita jika doa itu dikabulkan. Apa yang kita sangka baik, tak semesti jadinya baik dan apa yang kita sangka buruk, tak semesti jadi buruk.
Ramai yang mengeluh dan menyalahkan Tuhan apabila berlaku perkara yang tidak diingini. Cubalah ubah sudut pandangan kita dengan bersangka baik, iaitu berfikiran positif kepada Nya. Yakinlah Dia akan memakbulkan permintaan kita. Insya Allah.




3.  Mengabaikan Perintah Tuhan

Berapa kuat tahap cinta kita pada Allah? Diri sendiri saja yang tahu. Ramai yang mengaku cinta pada Nya, tetapi sebenarnya tidak. Mereka hanya menipu diri sendiri. Mereka mengaku cinta pada Nya tetapi tidak mengikut apa yang diperintahkan oleh Nya seperti tidak menunaikan solat. Pada hakikatnya mereka tidak cintakan Tuhan.
Sama seperti doa yang belum dimakbulkan lagi. Kita memang mahu doa dikabulkan tetapi kita dalam keadaan berdosa. Bagaimana doa nak makbul? Periksa balik apa yang ada dalam hati kita. Adakah hati kita dah suci?
Dalam hadis shahih Nabi SAW bersabda,” Seorang hamba akan selalu dikabulkan doanya selagi dia tidak berdoa dengan sesuatu yang berdosa, memutus silaturahim dan tergesa-gesa.”


Semoga kita dapat perbaiki apa yang perlu diperbaiki agar semua doa kita dapat dimakbulkan Tuhan. Wallahualam.