Tahukan anda bahawa daripada puluhan juta sperma yang bersama anda, hanya anda seorang sahaja yang berjaya lahir ke dunia?
Manakala selebihnya telah pun mati.
Bukankah itu menjadi bukti bahawa manusia dilahirkan sebagai juara?
Ya, kita dilahirkan sebagai seorang juara.
Oleh itu, berfikir dan bertindaklah sebagai seorang juara.
Kejayaan kecil yang dilakukan secara istiqamah akan membawa kejayaan yang besar pada masa akan datang.
Pepatah Melayu ada menyatakan “sikit-sikit lama-lama jadi bukit”.
SIKAP JUARA
1. Tekun
Allah menyukai hambaNya yang bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Kesungguhan dalam pekerjaan akan membuahkan kejayaan yang diinginkan. Itqan (tekun) bermaksud melaksanakan sesuatu tugas yang sesempurna mungkin, disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh.
2. Berfikiran Positif
Penuhkan minda dengan fikiran positif setiap hari.
Ia akan memacu kita untuk terus maju ke hadapan.
Orang yang berfikiran positif akan terus mencari jalan untuk mencapai impian.
Dia akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impiannya.
Manakala pemikiran negatif akan menarik seseorang itu untuk terus mundur ke belakang.
Ia akan menyebabkan seseorang itu menyerah kalah sebelum berjuang.
3. Sentiasa Yakin
Sekiranya kejayaan belum lagi digapai, bersabarlah dan teruskan usaha.
Sesungguhnya ia juga membawa kepada kebaikan kepada kita.
Hari ini tidak akan menjadi lebih hebat daripada semalam jika kita masih melihat diri seperti semalam. Belajarlah daripada semalam dan hari ini agar ia menjadi titik permulaan untuk hari esok yang lebih baik.
Sumber : Majalah SOLUSI (135/2020) Dr. Zaifuddin Md Rasip