Ahad, 15 Januari 2017

KUASA SEDEKAH


Peristiwa pertama, saya seorang bekas murid sebuah sekolah menengah berasrama di Pahang. Masa zaman saya bersekolah (14 tahun lepas) , duit syiling sangat penting macam nyawa lah. Gigih belanja 20sen kat koperasi semata-mata nak dapatkan syiling 80sen. Nak buat apa? Nak telefon mak ayah tanya bila nak datang, tolong bawak itu ini dan sebagainya. Ada satu hari saya ke klinik sebab demam. Semasa menunggu van sekolah ambil saya selepas menerima rawatan, ada seorang makcik datang kepada saya. “Nak, tolong telefon anak makcik nak. Bagitau makcik dah siap. Boleh ambil dah. Makcik cari syiling tak jumpa”. Masa tu syiling saya sangat kritikal. Sangat sangat. Ada tak sampai seringgit. Nak call mak ayah lagi. Tapi saya pergi kat telefon awam, call no anak makcik tu. Bagitau dah siap semua. Makcik tu tunggu agak jauh dari saya. Tiba-tiba makcik tu datang. “Nah ambil semua duit ni. Tadi guna duit anak kan? Anak makcik dah datang. Terima kasih ye”. Allah. Allah. Allah. Dapat lah dua genggam syiling masa tu. Subhanallah. Terkedu kat situ jugak.

Peristiwa kedua, ketika saya sudah bekerja. Saya bekerja sebagai guru. Ada satu hari saya tengok anak murid saya macam selekeh sangat. Tak makan, tak terurus. Saya panggil beliau dan bertanya “tak rehat ke?”. Jawab beliau “tak cikgu, ayah saya tak kerja” simple. Saya tahu kesusahan beliau tapi tak terfikirlah sampai sedaif itu. Saya hulur RM10. Saya cakap “ambil duit ni buat belanja sampai esok. Jangan tak datang pulak”. Lepas ucap terima kasih terus beliau pergi rehat. Saya pun naik bilik guru. Tiba-tiba ada seorang cikgu jumpa saya “ni RM100 duit dari PIBG penghargaan sebab buat kelas sepanjang tahun lepas”. Dalam masa 10 minit, RM10 saya dah digantikan dengan RM100. Allah Maha Kaya.

Peristiwa ketiga, saya seorang yang ingin punya anak awal. Rezeki saya mengandungkan anak pertama kira-kira lima bulan selepas berkahwin. Sebenarnya tidak terlalu awal bagi sesetengah orang. Sebelum saya tahu saya mengandung, saya pergi ke sebuah rumah anak yatim yang betul-betul dhaif. Masa tu tiada orang sebab semua orang pergi solat jumaat. Saya tinggalkan beberapa beg beras dan saya masukkan sedekah saya di dalam tabung di luar pejabat rumah anak yatim tersebut. Saya tinggalkan nota berbunyi “Sedekah untuk anak-anak. Doakan saya juga dapat rezeki anak.” Beberapa hari kemudian saya dapat tahu saya pregnant. Syukurnya Ya Allah. Saya harap nota tu tak terbang di bawa angin.

Saya rasa cukuplah tiga peristiwa ini sebagai pendorong anda untuk bersedekah. Di sini saya ingin kongsikan sedikit tips : –

1. Jangan tunggu bila ada duit baru nak sedekah. Bila dah sihat baru sedekah. Sebab potensi untuk anda lupa tu sangat tinggi. Sedekahlah supaya anda ada duit. Sedekahlah agar anda sihat.

2. Niat semasa sedekah. “Ya Allah, aku sedekah ni bagi pihak aku dan keluargaku. Berikanlah aku sekian sekian sekian.” Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

3. Seeloknya sedekahkan makanan. Biar terus menjadi darah daging dan beranak pinak dengan darah daging hasil derma anda.

4. Kalau nak sedekahkan kepada anak yatim, cari yang betul-betul memerlukan. Biar mereka merasa sama apa yang anda dan anak-anak anda rasa.

5. Nak mengandung? Nak rezeki datang? Sedekahlah. Kadang-kadang kita terlupa bahawa Yang Memberi Rezeki ialah Allah swt.

6. Kalau nak orang doakan, sila nyatakan dengan jelas apa yang anda nak. “Doakan saya dapat baby” “Doakan saya dapat 10A+”

7. Jangan rasa jemu bersedekah. Minggu lepas anda sedekah tak dapat apa-apa yang luar biasa? Ketahuilah anda bahawa mungkin sebenarnya ketika anda pulang dari kerja minggu lepas sebenarnya tayar anda akan pancit. Tapi kerana sedekah anda, rezeki anda untuk berjimat sebanyak RM100. Kita tak tahu. Allah Maha Mengetahui.

8. Sedekahlah pada hari Jumaat untuk dapatkan pahala berganda.

9. Doa juga sedekah. Alfatihah juga sedekah.

10. Kongsikan entry ini juga sedekah. Tolong saya. Saya nak dapat pahala. Orang lain baca dan bersedekah, anda juga dapat pahala.

Semoga kita semua diberi kesempatan untuk bersedekah sebanyak mungkin dan sedekah kita bermanfaat sebelum kita menghadap pencipta. Saya doakan yang terbaik buat kalian, doakan juga yang terbaik untuk saya dan keluarga.

Ingatlah, rezeki yang berkat itu ada tiga : makanan yang dihabiskan, pakaian/barangan yang digunakan hingga lusuh dan rezeki yang disedekahkan.

Hamba Allah yang mengharapkan pahala tidak putus.

Sumber : IIUMC